Qarliesya duduk termenung di birai katilnya. Dari tingkap dia dapat melihat majlis masih berlangsung. Dia bukan sengaja melarikan diri, tapi dek kerana migrain yang menyerang dia sedari makan beradab tadi memaksanya untuk berehat.
Baru saja Qarliesya mahu mencabut veil di kepala, pintu terkuak dari luar. Qarliesya berpaling untuk melihat siapa yang masuk. Sebaik saja seraut wajah sinis itu menyapa matanya, Qarliesya menjadi sesak. Jantungnya seakan terus berhenti berdegup.
Helmi mengatur langkah penuh gaya mendekati isteri yang baru dinikahinya tadi. Raut wajahnya yang angkuh langsung tidak menggambarkan apa yang dirasakan di dalam hatinya.
“Kenapa cepat sangat masuk bilik?" Soalnya mendatar. Tangannya ligat membantu Qarliesya membuka veil dan pin yang berceracak di rambut isterinya itu.
“Sakit kepala," perlahan saja Qarliesya menjawab.
Helmi merenung sekilas wajah Qarliesya yang agak pucat. Hatinya menjadi bimbang. Namun dek kerana ego masih menguasai hatinya, Helmi berusaha untuk tidak menunjukkan rasa hatinya kala itu.
“Dah makan ubat?" Soalnya kemudian.
Helmi menyumpah dirinya. Walau sekuat mana dia menjunjung keegoannya, dia tetap tidak dapat menahan diri daripada bersikap prihatin terhadap gadis ini.
Qarliesya sekadar mengangguk sebagai jawapan.
“Tidurlah. Awak tak cukup rehat ni." Helmi menolak lembut bahu Qarliesya.
Qarliesya menggeleng. “Bagi saya tukar baju dululah. Panas ni." Ujarnya seraya bingkas berjalan ke arah almari baju hariannya.
Sehelai t-shirt labuh dan bersaiz agak besar berserta sehelai legging kuning ditarik keluar. Qarliesya berjalan pantas menuju ke satu sudut di sebelah almari bajunya tadi. Di situ hanya terdapat papan yang digunakan sebagai pelindungnya.
Qarliesya menyegerakan pergerakannya. Lincah tangannya membuka butang baju pengantin berpotongan klasik yang tersarung di tubuhnya. Baju sudah siap digantikan. Kemudian dia menyarung pula seluar leggingnya. Ketika dia hendak melucutkan kain baju kurungnya, dia terdengar langkah Helmi yang mendekatinya.
“Buat apa lagi tu? Cepatlah. Kang melarat pulak sakit kepala awak tu." Kata Helmi agak kuat.
Qarliesya menjadi kalut. Dalam keadaan tidak tentu arah, Qarliesya terjerit, “Eh, jangan datang dekat."
Helmi segera menghentikan langkahnya betul-betul di sebalik papan pelindung tempat Qarliesya menukar baju itu. Berkerut keningnya. “Cha, awak ok tak ni?"
“Ok, ok. Awak jangan intai saya pulak." Dia semakin kalut. Kain kurungnya tidak tahu hendak dilucutkan atau tidak. Dia terlupa dirinya yang sudah siap berpakaian itu.
Helmi ketawa besar. Lucu betul Qarliesya ni, fikirnya.
“Hey, sayang. Awak ingat suami awak ni pervert sangat ke sampai intai isteri sendiri petang-petang buta ni? Agak-agaklah."
Qarliesya mengetap bibirnya. 'Siot betul dia ni.'
Qarliesya cuba menenangkan dirinya. Beberapa kali dia menarik nafas panjang dan menghembusnya. Dia menelek sepintas lalu keadaan tubuhnya. Hendak ketawa pula dia dengan sikap kalutnya. Sampai tak sedar dia sudah siap berpakaian.
Namun ketika dia cuba hendak melurutkan kainnya, dia gagal. Beberapa kali dia mencuba namun tetap tersekat. Qarliesya berdecit marah. 'Apalagi ni?' Dia meraba-raba kainnya mencari punca kegagalan itu.
Saat itu juga Helmi menjenguk isterinya. “Hah! Tak siap lagi?" Sergahnya membuatkan Qarliesya tersentak.
Qarliesya bengang. Dia cukup pantang orang main sergah-sergah ni. Nasib baik tak de apa-apa yang dapat dijadikan alat untuk dibaling ke suaminya itu. Kalau tak, memang selamat kepala Helmi benjol dibuatnya.
“Apa sergah-sergah orang ni? Tak pandai cakap elok-elok ke?" Bentaknya. Hati yang memang sudah membengkak dengan kainnya semakin mendidih dek perbuatan Helmi.
Helmi tersenyum. Faham sangat dengan perangai Qarliesya ni. Dari kecil sampai besar memang tak suka orang bergurau bukan-bukan dengannya.
Tapi kalau orang yang cuba 'melawak' dengan gadis itu adalah orang yang tidak rapat dengannya, gadis itu cuma tersenyum hipokrit saja. Kalau dengan Helmi, pasti Qarliesya terus marah atau memukulnya saja.
Helmi melangkah mendekati gadis pujaannya sedari dulu. “Kenapa lama sangat ni? Tadi kata nak tidur." Helmi cuba memujuk. Dia tidak tega membiarkan gadis itu terus dikuasai amarah di hari perkahwinan mereka. Bimbang malam nanti gadis itu buat perangai tidak mahu bersanding. Qarliesya ni bukan boleh dibuat main-main.
“Kain ni tiba-tiba pulak tak boleh nak tanggal," adunya. Dia berdecit beberapa kali. Kepala yang masih berdenyut dan badan yang sudah dirasuki kepenatan membuatkan otaknya tidak mahu berfungsi lagi. Kalau tak kerana rimas, memang dia biarkan saja kain itu terus tersarung sekali dengan leggingnya.
Helmi ketawa kecil. “Awak ni, penat sangat ek? Kan awak belum cabut lagi hook ni. Macam mana nak tanggal. Awak pakai tarik-tarik nanti, buatnya koyak. Macam mana?" Helmi membantu isterinya membuka penyangkut kain yang masih elok terpasang.
Qarliesya termalu sendiri. Dia hanya menunduk memandang perbuatan suaminya. “Terima kasih," ujarnya seraya menanggal kain itu.
“Dah, karang kemas. Jom, tidur." Helmi memimpin tangan halus Qarliesya beredar dari tempat persalinan itu.
Qarliesya memandang tepat ke wajah Helmi. Berkerut-kerut keningnya. “Awak nak tidur sama ke?" Soalnya bodoh.
Helmi mula tersenyum nakal. “Awak nak saya tidur sama ke?" Sakatnya.
Qarliesya terdiam seketika. Sungguh, letih menjadikan keadaan Qarliesya menjadi parah. “Awak sakit kepala jugak ke?" Tanyanya lagi.
Helmi mula menarik nafas panjang. Dia menghentikan langkahnya seraya menarik tangan Qarliesya supaya turut berhenti.
“Sayang, awak ni kenapa? Takkanlah saya nak tidur sama. Saya usik awak je lah tadi. Kenapa awak ni? Letih sangat ke sampai cakap pun meraban je?" Helmi mula bersuara serius.
Dari kecil dia mengenali Nur Alia Qarliesya menjadikan apa saja yang difikirkan dan dilakukan gadis itu dapat ditebak. Walau sekuat mana pun usaha Qarliesya untuk membohonginya, tetap tidak berjaya.
“Eih, peninglah awak ni. Suka hati awaklah. Saya dah letih tahap gaban ni. Kalau awak nak tidur, tidur. Kalau tak nak, suka hati awaklah nak buat apa." Qarliesya merengus.
Pegangan tangan Helmi dileraikan dan dia terus menapak laju ke katil. Sebaik saja tubuhnya direbahkan, semuanya bertukar kelam.
No comments:
Post a Comment